![]() |
| DZIKIR ITU PENTING |
Tingkatan Dzikir
Maka segala amal dan segala Hal itu hanya
sanya yang menetapkan(meneguhkan) dia di dalam hati oleh wujud Zikir pada Hati
dan Lisan. Dan kesempurnaannya(zikir) itu ialah dengan Hudur
(hadir hati) dalamnya (zikir). Dan jangan
ditinggalkan kerana ketiadaan Hudur tetapi sebut oleh mu akan Tuhan mu atas
tiap-tiap hal seperti yang dikata oleh Muallif (Sheikh Ibni Athoillah
As-Kanddari) dalam kalam hikmahnya;
Jangan engkau tinggalkan Zikir kerana
ketiadaan Hudur mu serta Allah di dalamnya(zikir) kerana bahawasanya lalaimu
daripada tidak berzikir akan Allah itu telebih sangat jahatmu daripada
kelalaianmu dalam berzikir.
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Jangan engkau tinggalkan Zikir kerana
ketiadaan Hudur mu serta Allah di dalamnya(zikir) kerana bahawasanya lalaimu
daripada ketiadaan wujud zikir akan Allah itu telebih sangat jahatmu daripada
lalaimu dalam wujud zikir akan Dia. (Ini adalah kerana) kerana bahawasanya
lalai daripada zikir itu menjauhkan daripada Allah Taala dan berpaling pada
KulliahNya(semua halmu kepada Allah) dan lalai dalam zikir itu Hudur pada
Juziyyahnya(sesetengah masa atau waktu) dan kerana bahawasanya dalam zikirnya
itu menghiasi anggotanya dengan ibadat dan lalai itu menghilangkan akan dia
(anggota daripada berbuat ibadat)
Menurut guru suluk, Zikir secara umumnya ialah
apa sahaja amalan dan perbuatan zhohir dan batin yang membawa seseorang itu
kepada mengingati Allah. Amal ibadat dan perbuatan sama ada yang zhohir atau
batin yang berlandaskan hukum syarak yang dikerjakan dengan tujuan untuk
mendekatkan diri dan mendapat keredhoan Allah dikatakan ianya sebagai zikir.
Ini adalah kerana zikir itu terbahagi kepada kepada beberapa bahagian dan
martabat seperti Zikir Anggota, Zikir Lisan, Zikir Qalbi dan Zikir Sir serta
Zikir yang tenggelam dalam Mazkurnya yang akan dinyatakan oleh Tok Pulau Manis
melalui keterangan selanjutnya nanti.
Melalui kalam hikmah dan keterangan Tok Pulau
Manis di atas, seseorang hamba itu dianjurkan supaya sentiasa berzikir dan terus
berzikir walaupun hatinya lalai daripada mengingati Allah atau tidak hadir pada
hati akan makna-makna dan rahsia zikir(Hudur) semasa melaksanakannya. Inilah
adalah kerana perbuatan/amalan berzikir ini walaupun dikerjakan dalam keadaan
lalai, ianya sudah dianggap sebagai satu ibadat atau amal kebaikan jika
dibandingkan dengan hal-ahwal seorang yang langsung tidak berzikir di mana
secara terang dan nyata menunjukkan penderhakaan dan kejahatannya terhadap
Allah. Orang yang langsung tidak berzikir adalah mereka yang jauh dari Allah
dan kejahatan mereka itu menjauhkan lagi dari Allah kerana dengan kesombongan
mereka itu menyebabkan mereka berpaling dari hal-ahwal atau tindak-tanduk
kewajipan yang perlu dilaksanakan sebagai seorang hamba kepada TuhanNya.
Berbeza dengan orang yang sentiasa mengerjakan
ibadat seperti sholat, puasa, di samping berzikir serta lain-lainnya; walaupun
mereka lalai sewaktu mengerjakannya, sekurang-kurangnya ada juga pada waktu
atau ketika/saat-saat yang tertentu akan hudur hati mereka dengan Allah atau
setidak-tidaknya terhias zhohir anggota dan perbuatannya dengan amal-ibadat
yang dituntut oleh syarak. Bukankah boleh dikatakan satu kebaikan pada orang
bersholat atau berpuasa berbanding dengan mereka yang langsung tidak sembahyang
dan berpuasa?. Demikain juga lidah yang sentiasa basah dengan zikir walaupun
hatinya lalai itu terlebih baik dan mulia daripada lidah yang kosong hampa
dengan kalimah-kalimah yang suci itu.
Dari kerana inilah, Tok Pulau Manis meneruskan
lagi keterangannya yang seterusnya seperti berikut;
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Dan kata Wasthi r.a.;
Bermula lalai daripada menyebutnya(zikir) itu
terlebih sangat (jahat) daripada lalai dalam zikirnya.
Dan dikata orang bagi Abi Osman An-Nahdi r.a.;
Kami zikir akan Allah dan tiada kami dapat
akan manis dan Hudur.
Maka katanya (Abi Osman);
Puji jua oleh kamu akan Allah atas(kerana)
menghiasi anggota daripada segala anggota kamu dengan taatnya.
Dan kata setengah mereka itu (kaum sufiah);
Syukurlah engkau akan Allah atas barang yang
dikurniakanNya daripada Zikir Lisan dan jikalau melakukan (lidah) kepada tempat
mengumpat-ngumpat nescaya tiada ada engkau berbuat dia (zikir). Dan Allah Taala
terlebih memuliakan daripada bahawa diHudurkannya hambanya dengan lisannya
(walaupun) tiada mengurniai atasnya dengan Hudur hatinya. Dan sebut olehmu
dengan lisanmu dan bersungguh-sungguh dirimu dalam Hudur hatimu.
Keterangan Suluk (Tingkatan Pertama; Zikir
Lisan)
Ketiga-tiga petikan yang didatangkan oleh Tok
Pulau Manis di atas seakan ingin menunjukkan kepada kita bahawa betapa perlunya
seorang hamba itu membasahi lisannya dengan berzikir. Terlebih-lebih lagi bagi
orang-orang Salik yang ingin berjalan kepada TuhanNya, tuntutan untuk melakukan
Zikir ini adalah sangat-sangat ditekankan sebagai senjata dan alat pencuci jiwa
semasa dan sepanjang perjalanannya menuju kehampiran. Walaupun lalai atau
merasa pahit dan berat untuk berzikir, mereka digalakkan juga untuk
mengistiqamahkan Zikir Lisan ini mengikut awarid dan bilangan-bilangan
tertentu.
Pandangan di atas juga menegaskan agar para
Salik sentiasa bersyukur dengan anugerah dan Kurnia Allah yang sedikit dimana
Allah menghiasi anggota zhohir mereka dengan amal taat dan patuh kepada Allah.
Lidah yang digunakan untuk berzikir sekurang-kurangnya dapat mengelakkannya
daripada mengumpat-umpat dan mengeji orang lain atau ucapan yang sia-sia atau
lagho. Inilah wajah-wajah kemuliaan yang dikurniakan Allah kepada mereka yang
berzikir walaupun hatinya lalai. Kemampuan untuk berzikir secara lisan tanpa
hudur hati ini hendaklah disyukuri agar nanti mendapat kurnia dan anugerah
Allah yang lebih lagi sebagaimana firman Allah yang bermaksud; “Dan sekiranya
kamu bersyukur, nescaya kami(Allah) akan tambah lagi”.
Dengan kemuliaan kurnia Allah yang sedikit dan
kelebihan yang ada pada orang yang bersyukur inilah, maka Muallif (Sheikh Ibni
Athoillah As-Kanddari) mendatangkan kalam hikmahnya yang seterusnya sebagaimana
berikut;
Maka mudah-mudahan bahawa diangkatkan oleh
Allah akan dikau daripada Zikir(lisan) serta diperoleh lalai kepada Zikir serta
diperoleh jaga
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Maka mudah-mudahan bahawa diangkatkan oleh
Allah akan dikau daripada Zikir serta diperoleh lalai kepada Zikir serta
diperoleh jaga(Yaqozhoh) dengan LathifNya dan InayahNya kerana bahawasanya jaga
itu ingat hati daripada mengantuk ghoflah dan tidur juhalah kepada Hadirat
Al-Wafah(sempurna sebagai seorang hamba) dan Adab Al-Khidmat. Dia sanalah
berpindah ia daripada zikir lisan daripada zikir qalbi yang Hudur daripada
melazimkan dia (zikir lisan).
Keterangan Suluk (Tingkatan Kedua; Zikir
Qalbi)
Apabila seorang hamba/Salik mengistiqamahkan
dan sentiasa bersyukur dengan Zikir Lisan mereka, Insya Allah…. Allah Yang Maha
Lemah Lembut dengan pertolongan dan limpah kurniaNya akan mengangkatkan
martabat Zikir Lisan mereka kepada Zikir Yaqzhoh.
Dengan Zikir Yaqzhoh ini, hati hamba yang
sebelum ini lalai atau ghoflah dengan gangguan-gangguan keduniaan akan terjaga
dan tersedar untuk mula melihat kepada hakikat Zikir Lisan serta segala suatu
yang lain. Mata hati yang sebelum ini tertutup sewaktu berzikir akan terbuka
untuk memandang Keesaan dan Keagungan Allah. Zikir-zikir lisan yang diucapkan
akan terlancar dan bergerak selari dengan gerakan hati di samping dapat merasai
makna-makna dan rahsia zikir mengikut kadar yang dikurniakan Allah.
Hati yang sebelum ini, buta dan jahil dengan
hakikat dan makrifat mula mengenali dan memahami makna-makna di Alam Malakut
yang terpancar pada zhohir sesuatu. Mereka dapat melihat akan hikmah dan
pengajaran di sebalik sesuatu yang zhohir yang mendatangi mereka. Hiduplah hati
atau jiwa mereka menuju ke Hadirat Al-Wafah yang akan menyempurnakan kebersihan
hati untuk layak dipanggil sebagai seorang hamba dengan tahu melaksanakan adab-adab
kehambaan dan adab-adab Ketuhanan dengan pelbagai hal-ahwal hati yang merujuk
kepada kepatuhan dan ketundukkan yang penuh dengan kesedaran batin.
Dengan sebab inilah Zikir serta jaga ini
dinamakan juga sebagai Zikir Qalbi kerana hidup hati itu dengan mengingati dan
memandang Allah pada setiap kali memandang “ghair” atau sesuatu yang zhohir;
sedar dan terjaga hati itu untuk mengenal dan memahami akan hakikat bagi segala
sesuatu. Dengan Zikir Qalbi inilah, bermulalah satu perjalanan hati untuk meneroka
dan memasuki alam-alam batin atau alam-alam rahsia atau Alam Ketuhanan Yang
Maha Tinggi.
Dan dengan kerana inilah diisyaratkan pula
Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari) sebagai menyambung dalam kalam
hikmahnya yang seterusnya sebagaimana beriknya;
Dan daripada zikir serta diperolehi jaga
(Zikir Yaqozhoh) kepada zikir serta wujud Hudur serta Allah (Zikir Sir).
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Dan daripada zikir serta diperolehi jaga pada
zikir serta oleh Hudur serta Allah. Dan adalah Hudur kepada mereka itu iaitu
Hudur dengan Haq Taala tatkala ghaibnya daripada sekelian pancaindera dan
daripada memandang agyar. Dan dalam Maqam ini berpindah ia daripada Zikir Qalbi
kepada Zikir Sir. Zikir Sir itu ghaib ia daripada barang yang lain daripada
Mazkor.
Keterangan Suluk (Tingkatan Ketiga; Zikir Sir)
Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Dengan kasih-sayangNya Yang Maha Tinggi, Allah mengangkatkan Maqam Zikir Qalbi
seorang hamba pilihanNya kepada tingkat yang seterusnya iaitu Zikir Sir. Zikir
Sir ini sebagaimana keterangan Tok Pulau Manis di atas merupakan Zikir yang
telah datang kehadiran hati serta Allah. Dan Zikir ini juga merujuk kepada
kehadiran Rahsia diri yang terpendam sebelum ini. Hidup Sirnya dengan TuhanNya
di mana seluruh ingatan, seluruh pandangan(syuhud) dan seluruh “rasa” tertumpu
kepada Yang Haq. Ingat dengan Yang Haq; Syuhud kepada Yang Haq dan “merasa”
dengan Yang Haq. Dengan kata lain, seluruh anggota badan yang zhohir dan batin
sentiasa dalam keadaan Zikir
Inilah adalah kerana, jiwa atau hati hamba
telah hapus atau hilang atau qhaib daripada pengaruh pancaindera dan memandang
kepada Agyar pada pihak tidak diiktibarkan apa yang dilihat, apa yang didengar,
apa yang dirasa, apa yang diucapkan; malah setiap hal-ahwal zhohir mereka adalah
merupakan Zikir kerana mereka tidak melihat sesuatu itu melainkan dilihatNya
Allah dan tidaklah mereka dilakukan sesuatu perbuatan atau amalan melainkan
dengan “perintah” yang datang dari Allah.
Sungguhpun demikiannya hal keadaan hati yang
sentiasa ingat akan kehadiran Allah dalam tiap-tiap sesuatu itu berzikir dan
berzikir dengan Sirnya, namun ianya belum sampai kepada puncak kesempurnaannya
yang Hakiki. Hati ini masih melihat dan memandang kepada dirinya sendiri, hati
ini masih terpesona dengan keajaiban rahsia dirinya di mana hal ini menunjukkan
bahawa masih ada lagi wujud yang lain iaitu dirinya. Ini merupakan satu
kecacatan pada Tauhid yang menjadi intipati dan rahsia Zikir itu.
Dan dengan kerana inilah diisyaratkan pula
Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari) sebagai menyambung dalam kalam
hikmahnya yang seterusnya sebagaimana beriknya;
Dan daripada zikir serta diperoleh Hudur
(Zikir Sir) kepada Zikir serta diperoleh ghaib daripada barang yang lain
daripada Mazkor
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Dan daripada zikir serta diperoleh Hudur
kepada zikir serta diperoleh ghaib daripada barang yang lain daripada Mazkor ia
hingga masuklah orang yang zikir itu ke dalam MazkorNya dan ghaib Sirnya takala
ZuhurNya (nyata Allah). Maka adalah ghaib zikirnya dengan zikirnya.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar